Tuesday, February 15, 2011

Kenyataan Akhbar SKM: Mengenai Isu Penggunaan Nama "Co-opbank"

Pada 29 November 2010 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Suruhanjaya) telah mengeluarkan surat kebenaran kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) untuk menubuhkan sebuah koperasi menengah yang menjalankan aktiviti perbankan.
Koperasi dalam penubuhan ini tidak dibenarkan menggunakan nama “Co-opbank” untuk tujuan pendaftaran. Penggunaan nama Koperasi Co-opbank Islam Malaysia Berhad hanya boleh digunakan setelah Suruhanjaya berpuashati bahawa Koperasi ini telah mematuhi sepenuhnya Garis Panduan 11 - Garis Panduan Koperasi Menjalankan Aktiviti Perbankan dan juga setelah mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).
Walau bagaimanapun, ANGKASA telah beberapa kali membuat kenyataan akhbar mengenai “Islamic bank for ANGKASA” di akhbar The STAR dan “Bank Pertama ANGKASA dapat kelulusan SKM” di akhbar Utusan Malaysia. Daripada kenyataan yang tidak tepat ini telah menyebabkan orang awam beranggapan operasi bank tersebut telah bermula dan Suruhanjaya banyak menerima pertanyaan-pertanyaan mengenainya.

Berdasarkan kepada beberapa kenyataan akhbar yang diberikan oleh ANGKASA, Suruhanjaya telah mengeluarkan surat peringatan kepada ANGKASA supaya tidak menggunakan perkataan “Bank” atau “Co-opbank” semasa membuat penerangan penubuhan Koperasi tersebut. Penggunaan perkataan “bank” atau apa-apa terbitan perkataan ini dalam apa-apa bahasa adalah di bawah bidang kuasa BNM menurut seksyen 15 Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

No comments:

Post a Comment