Wednesday, June 9, 2010

ANGKASA untung RM2.6 bilion tahun lalu

2010/06/09

KOTA BHARU: Urus niaga yang dijalankan oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi tahun kewangan 2009 berjumlah RM8.965 bilion dengan catatan keuntungan RM2.6 bilion, katanya Timbalan Yang Di Pertuanya, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

"Dengan jumlah itu, ia mencatat pertumbuhan 1.0 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2009, iaitu satu angka yang tinggi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Pengurusan Koperasi dan Keanggotaan Angkasa di sini hari ini. Abdul Fattah berkata, daripada 7,215 koperasi di seluruh negara, sebanyak 4,030 koperasi berdaftar sebagai ahli ANGKASA dan menjalankan pelbagai perniagaan masing-masing.

Sehingga akhir tahun lalu, katanya, jumlah modal berbayar terkumpul ialah RM8.9 bilion manakala nilai keseluruhan aset yang dimiliki ANGKASA mencecah RM65 bilion.

Bagi Kelantan, beliau berkata urus niaga bernilai RM259.6 juta dijalankan pada tahun lalu dengan jumlah keuntungan terkumpul RM18.7 juta.

"Kelantan kini mencatatkan pelaburan RM184.9 juta manakala nilai eset keseluruhan sebanyak RM412 juta," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyarankan semua koperasi di negara ini mendaftar dengan ANGKASA bagi membolehkan kemudahan dinikmati termasuk penerangan, seminar, kursus pengurusan, lawatan sambil belajar dan kemudahan kredit bagi tujuan tertentu.

"Saya harap lebih banyak lagi koperasi mendaftar sebagai ahli ANGKASA bagi membolehkan pelbagai kemudahan dinikmati termasuk urusan laporan tahunan koperasi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Kelantan, Anuar Mohd, ketika berucap pada majlis sama, berkata semua koperasi diminta membuat laporan tahunan bagi mengelak tindakan mahkamah dikenakan.

Beliau berkata, sekiranya gagal berbuat demikian sehingga tempoh tiga tahun, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk tindakan awal, mengenakan kompaun.

"Saya harap ianya menjadi tradisi, di mana setiap tahun diadakan mesyuarat agung tahunan bagi membentangkan laporan tahunan kepada ahli yang berhak mengetahuinya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment